Selasa, 19 Februari 2008

Pos Malaysia Berhad Larang Hantar Wang Tunai Melalui Pos Biasa

KUALA LUMPUR, 18 Feb. - Pos Malaysia Berhad (PMB) melarang pelanggan menghantar wang tunai dan barangan berharga melalui perkhidmatan pos biasa atas dasar keselamatan kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang di beberapa buah negara.

Ketua Komunikasi Korporat PMB Datin Rohaiza Hashim menasihatkan pelanggan mendapatkan kelulusan daripada Pengawal Pertukaran Asing untuk penghantaran Matawang Malaysia (Ringgit Malaysia), emas dan Bil Perbendaharaan ke mana-mana destinasi di luar Malaysia.

"Pelanggan yang ingin menghantar wang tunai melalui perkhidmatan pos biasa adalah atas tanggungan sendiri dan ganti rugi tidak akan diberikan sekiranya berlaku kehilangan atau kerosakan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rohaiza berkata PMB menawarkan beberapa pilihan lain yang lebih selamat, terjamin dan mudah bagi pelanggan yang ingin menghantar wang melalui perkhidmatan pos termasuklah perkhidmatan wang ke luar negara ataupun Kiriman Wang Antarabangsa (IMO) di mana negara-negara berkaitan yang mempunyai perjanjian dua hala dengan PMB.

Senarai negara-negara berkenaan, kadar pertukaran mata wang dan had maksimum boleh diperolehi di pejabat pos yang berdekatan, katanya.

Rohaiza juga berkata PMB juga adalah ejen bagi syarikat perkhidmatan pemindahan wang antarabangsa dengan memberikan perkhidmatan kiriman wang ke luar negara di pejabat-pejabat pos terpilih. "Bagi pelanggan yang ingin menghantar barangan berharga, PMB menasihatkan agar pelanggan menggunakan perkhidmatan yang lebih selamat dan terjamin seperti Perkhidmatan Mel Berdaftar (PosDaftar) dan Perkhidmatan Kurier (PosLaju). "Kedua-dua perkhidmatan premium itu memberikan kemudahan jejak dan kesan, dan layak mendapat pampasan sekiranya berlaku kehilangan atau kerosakan kepada barangan mel itu," katanya.

Katanya PMB turut menyediakan Perkhidmatan Mel Diinsuranskan yang memberi jaminan barangan mel yang dihantar akan menikmati pengendalian kelas pertama, perlindungan yang menyeluruh dan layak mendapat pampasan sekiranya berlaku kehilangan atau kerosakan pada barangan mel tersebut. Perkhidmatan itu boleh diperolehi di pejabat-pejabat pos dengan kadar yang istimewa tetapi tidak boleh digunakan untuk barangan yang dikenakan cukai.

Untuk keterangan lanjut orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan PMB menerusi PosLine 1-300-300-300. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan