Rabu, 13 Februari 2008

Parlimen Bubar Hari Ini Untuk Pilihan Raya Umum Ke-12

PUTRAJAYA, 13 Feb. - Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen berkuatkuasa hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-12 diadakan.  

Beliau mengumumkan pembubaran itu pada satu sidang media di pejabatnya di sini, yang disiarkan secara langsung menerusi RTM1 tengah hari ini.

Perdana Menteri juga mengumumkan semua kerajaan negeri dinasihatkan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing, kecuali Sarawak berkuatkuasa pada tarikh yang sama, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak.


Katanya beliau telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini untuk pembubaran Parlimen ke-11.

Pembubaran Parlimen ini dibuat 15 bulan lebih awal dari tarikh tamat tempoh penggal lima tahunnya yang akan berakhir pada 16 Mei 2009.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka bermesyuarat beberapa hari lagi bagi menetapkan tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian.

Semasa pengumuman itu yang turut dihadiri oleh timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, Abdullah berharap pilihan raya umum yang bakal diadakan akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

Katanya kerajaan Barisan Nasional (BN) berharap mendapat semula mandat dua pertiga seperti yang diperoleh pada pilihan raya umum ke-11 pada 2004.

Katanya jentera BN telah disusun rapi dan bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum.

"Senarai calon telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata bahawa BN akan menampilkan barisan calon terdiri muka lama dan baru, yang akan diumumkan sehari dua lagi. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan