LONDON: Satu hasil kaji selidik di sini mendapati pengambilan terlalu banyak minuman ringan yang manis dan jus buah-buahan boleh meningkatkan risiko penyakit gout, kata saintis dalam laporan Jurnal Perubatan Britain.Penyelidik mendapati risiko itu yang dikaitkan dengan minuman ringan adalah lebih tinggi daripada sesetengah jenis alkohol.
Dalam satu kaji selidik terbesar dilakukan, saintis di Amerika Syarikat dan Kanada memantau lebih 46,000 lelaki berusia lebih 40 tahun yang tidak mempunyai rekod penyakit gout selama lebih 12 tahun.
Hasil kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan Britain itu mendapati risiko mendapat gout adalah 85 peratus lebih tinggi di kalangan lelaki yang minum dua tin atau lebih minuman ringan setiap hari berbanding mereka yang mengambilnya kurang daripada satu tin dalam tempoh sebulan.
Keadaan ini lebih tinggi risikonya berbanding risiko pengambilan minuman yang mengandungi spirit.
Lelaki yang mengambil jus buah-buahan dengan banyaknya atau buah-buahan yang kaya dengan kandungan fruktos seperti epal dan oren, juga menghadapi risiko lebih tinggi untuk terkena gout. Bagaimanapun, mereka yang mengambil minuman ringan diet tidak menunjukkan risiko tambahan.
Penyelidik itu percaya hasil kajian mereka boleh menjelaskan kenapa kes kejadian gout bertambah berlipat kali ganda di Amerika dalam tempoh terdekat ini.
Serangan gout, yang berpunca daripada terlalu banyak kandungan asid urik dalam badan, selalunya bermula di ibu kaki dan merebak ke sendi yang lain di seluruh tubuh badan kerana di bahagian inilah terkumpulnya asid berkenaan.
Pakar makanan menasihatkan penghidap berjumlah 600,000 orang di Britain, supaya mengehadkan pengambilan purin iaitu sejenis kimia yang ada dalam daging dan alkohol yang boleh bertukar menjadi asid urik.
Kebanyakan minuman ringan dan jus buah-buahan pula mengandungi kandungan fruktos yang banyak, sejenis gula semula jadi yang boleh meningkatkan tahap asid urik dalam tubuh.
Laporan itu bagaimanapun menekan mengenai kepentingan buah-buahan dan sayur-sayuran bagi mengelakkan penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan sesetengah penyakit kanser.
Penulis laporan itu, Hyon K Choi dari Universiti British Columbia di Vancouver dan Gary Curhan dari Sekolah Perubatan Harvard, berkata hasil kajian berkenaan menyokong perakuan menyatakan pengambilan bahan fruktos sepatutnya dikurangkan oleh pesakit yang mempunyai kandungan asid urik yang banyak di dalam tubuh badan mereka bagi mengelakkan penyakit gout. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan