Khamis, 21 Februari 2008

Keluarga harap fotofit baru bantu cari Sharlinie

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Keluarga Sharlinie Mohd. Nashar, 5, sangat berharap kes kehilangannya yang masuk hari ke-43 hari ini dapat diselesaikan dengan adanya dua fotofit baru suspek yang dipercayai menculik kanak-kanak itu.

Bapa Sharlinie, Mohd. Nashar Mat Hussain berkata, dengan adanya dua fotofit baru tersebut sudah tentu akan membantu pihak polis mengesan penculik sebenar anaknya itu.

"Kami harap fotofit tersebut dapat memberi petunjuk baru dan membantu dalam pencarian penculik Sharlinie," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sharlinie dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang bersama kakaknya, dari padang permainan kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya pada pagi 9 Januari lalu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, fotofit tersebut sekarang berada di Balai Polis Petaling Jaya dan tidak akan dihebahkan kepada orang ramai.

Beliau berkata ini bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai kerana fotofit tersebut tidak sama dengan fotofit terdahulu.

Usaha mencari Sharlinie secara risikan polis dan tradisional telah dilakukan tetapi sehingga kini tiada sebarang petunjuk ditemui.

Mengenai cadangan menggunakan pakar hipnosis, Mohd. Nashar berkata, setakat ini beliau belum lagi meminta bantuan pakar tersebut dalam misi mencari anaknya.

"Kami memang terfikir meminta bantuan pakar hipnosis tetapi saya akan berbincang dengan keluarga terlebih dahulu," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada orang ramai dan pihak polis kerana tidak berputus asa memberi maklumat dan mencari anaknya yang hilang lebih sebulan lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan