Mari kita sama-sama merenung hadis Nabi ini:
1. Dari Ibnu Umar r.a katanya: “ Bahawasanya Rasulullah s.a.w mengutuk orang yang menyambung rambut dan meminta rambutnya disambungkan. Dan (Rasulullah s.a.w) mengutuk pembuat tatu dan yang meminta ditatu”..(Hadis bil. 2003 : Sahih Muslim).
2. Dari Abu Hurairah r.a Nabi s.a.w bersabda : “Allah mengutuk wanita yang mempergunakan (memberikan) rambutnya untuk (menyambung) rambut wanita lain, wanita yang menyambung rambutnya dengan wanita lain, wanita yang membuat gambar di kulitnya (tubuh) dengan tusukan dan wanita yang meminta kulitnya dibuat gambar dengan tusukan (alat pengukir)”..(Hadis bil. 1685 : Sahih Bukhari)
Jelas Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz : “ inai berukir ala tatu tak boleh! Ia dilaknat Allah. Inai berukir bentuk awan larat atau bentuk gambar itu dalam kategori tatu, kalau nak pakai inai, pakailah betul-betul hujung jari”.
Marilah kita membuat pengislahan dalam diri kita agar kita tidak tergolong dalam hamba-hamba Allah yang melanggar syariatNya..
wallahu’alam…
- Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz bekas Pegawai Agama Islam di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Inai ala tatu tidak sesuai adat Timur
KUALA LUMPUR 9 Feb. - Orang ramai menyifatkan trend pemakaian inai ala tatu yang semakin digilai terutamanya remaja perlu dihentikan kerana ia bertentangan dengan agama dan budaya.
Tinjauan Mingguan Malaysia hari ini mendapati, rata-rata mereka menganggap pemakaian inai seperti itu meniru budaya agama lain, selain tidak sesuai dengan adat ketimuran.
Seorang peniaga, Yusni Tahir, 44, berpendapat, pemakaian inai ala tatu sewajarnya dihentikan.
''Jika agama kita melarang pemakaiannya, maka kita hendaklah patuh kerana mungkin ada kebaikan atau hikmah di sebalik larangan itu. Cukuplah sekadar memakainya di kuku sahaja dan tak perlulah berlebih-lebih sampai memenuhi seluruh permukaan tangan,'' katanya.
Beliau menambah, perbuatan itu juga merupakan satu pembaziran kerana kebiasaannya seseorang yang ingin memakai inai ala tatu perlu berbelanja lebih dari RM10 sedangkan ia hanya bertahan kurang dari seminggu.
Roziana Noh, 23, pula berkata, pemakaian inai tersebut adalah haram kerana ia seperti mengukir tatu di anggota tubuh.
''Sekarang ini semakin ramai wanita memakainya, bukan saja untuk majlis perkahwinan atau perayaan, malah mereka memakainya pada bila-bila masa sahaja,'' ujarnya.
Dia yang merupakan pelajar sebuah kolej di sini berpendapat, umat Islam seharusnya mematuhi larangan memakai inai ala tatu sama seperti pemakaian tatu pada anggota badan.
''Kita tidak patut memakainya kerana tidak mengetahui apa sebenarnya ramuan yang digunakan dalam penyediaan inai tersebut,'' katanya.
Sementara itu, Rosli Md. Nin, 44, yang merupakan pelukis inai ala tatu di Jalan Masjid India di sini berpendapat, pemakaian inai tersebut bergantung pada niat seseorang.
''Jika niat atau tujuan kita betul, maka ia tidak menjadi kesalahan kerana ia samalah seperti memakai barang perhiasan lain yang bertujuan untuk kelihatan cantik. Perkara ini terpulang kepada pendapat masing-masing selain kita perlu yakin dengan apa yang kita lakukan,'' ujarnya.
Rosli yang menjalankan perniagaan itu sejak enam tahun lalu berkata, inai yang digunakan olehnya adalah halal dan boleh dipakai ketika bersolat. - utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan