CAPE CANAVERAL, Florida 8 Feb. - Setelah dua bulan tertangguh akibat pelbagai masalah, kapal angkasa Atlantis akhirnya berjaya dilancarkan semalam (7 Feb. 2008) walaupun terdapat ura-ura ia terpaksa ditangguhkan sekali lagi akibat cuaca buruk.
Atlantis meluncur laju ke angkasa lepas dengan membawa bersamanya sebuah makmal milik Eropah, Columbus, yang bernilai hampir AS$2 bilion (RM6.14 bilion).
Pesawat yang dikendalikan oleh tujuh krew itu berlepas dari tapak pelancaran pada pukul 2.45 petang semalam (2.45 pagi Jumaat waktu Malaysia).
Pelancarannya tertangguh sebanyak dua kali pada Disember lalu akibat masalah teknikal.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kelmarin berkata, pelancaran Atlantis mungkin terpaksa ditangguhkan lagi berikutan cuaca buruk akibat puting beliung yang melanda selatan AS.
Agensi Angkasa Lepas Eropah mengambil masa selama 23 tahun untuk membina makmal Columbus yang akan disambungkan dengan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) itu.
Columbus akan menyertai makmal angkasa milik AS, Destiny yang telah berada di stesen ISS sejak tujuh tahun lalu.
Namun makmal paling besar di ISS ialah Kibo, milik Jepun yang bermaksud Harapan.
Makmal itu memerlukan tiga kapal angkasa untuk membawanya turun ke bumi yang dijadual pada Mac ini.
Sementara itu, Komander Atlantis, Stephen Frick dan pasukannya dijangka mendarat di ISS, esok.
Tugas-tugas untuk memasang makmal Columbus pula dijangka dilakukan pada Ahad ini dan mengambil masa 12 hari untuk disiapkan.
Ketua Pentadbiran NASA, Michael Griffin menyifatkan pelancaran Columbus ini merupakan yang paling mencabar kerana ia merupakan kejayaan daripada satu kerjasama, keupayaan serta penyertaan antarabangsa. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan