Rabu, 30 Januari 2008

Sharlinie Ingin Patung 'Barbie' Sebagai Hadiah Hari Lahir, Kata Bapa

PETALING JAYA, 30 Jan. - Esok, adik Sharlinie Mohd Nashar sepatutnya menerima hadiah anak patung "Barbie" sempena hari lahirnya yang kelima namun hasrat itu tidak kesampaian berikutan kehilangannya sejak 22 hari lepas.

Hasrat Sharlinie itu pernah disuarakan kepada bapanya Mohd Nashar Mat Hussin, 29, seminggu sebelum kehilangannya pada 9 Jan lalu.

"Saya terkilan tak dapat belikan anak patung Barbie permintaannya bagi menyambut hari lahir yang kelima esok," kata Mohd Nashar kepada pemberita, yang mengunjungi kediamannya di Taman Medan di sini, Selasa.

Selain anak patung Barbie, Sharlinie juga meminta dibelikan telefon mainan pada pagi sebelum kehilangannya.

"Akur dengan permintaannya, saya ada tinggalkan duit pada isteri untuk beli barang tersebut, namun saya kesal sebab tak sempat isteri nak beli telefon tu, Sharlinie dah hilang," katanya sebak.

Mohd Nashar berkata setiap tahun beliau sekeluarga akan menyambut hari lahir Sharlinie secara sederhana dengan sekurang-kurangnya membelikan Sharlinie sebuah kek coklat yang menjadi kesukaannya.

"Saya tidak pernah memberikannya sebarang hadiah dan sangat berharap dapat memberikan apa yang dimintanya pada tahun ini termasuk menggantikan basikal baru yang telah lama dimintanya," kata Mohd Nashar.

Bagi menggantikan sambutan ulang tahun Sharlinie pada hari Rabu, Mohd Nashar berkata keluarganya akan mengadakan solat hajat dan kenduri doa selamat untuk anaknya itu dengan bantuan Rukun Tetangga kawasan perumahannya.

Ibu Sharlinie, Suraya Ahmad, 28, yang terlalu sedih ketika ditanya mengenai anak ketiganya itu hanya mampu berkata beliau sangat merindui ciuman Sharlinie.

Suraya berkata walaupun tiada hadiah istimewa diberikan sempena hari lahirnya, Sharlinie tetap riang memberikan ciuman kepada kedua ibu bapanya sebagai tanda penghargaan kerana membelikan kek coklat untuknya.

"Saya merayu kepada penjaga Sharlinie, tolong pulangkan anak saya, lebih-lebih lagi esok adalah hari jadinya," rayunya dengan nada pilu.

Sementara itu, kakak sulung Sharlinie, Nurul Amirah, 11, berharap Sharlinie akan dikembalikan kerana dia sangat merindui adiknya itu.

"Saya terlalu rindukan adik..., masa di sekolah tadi, saya menangis bila teringatkannya terutama bila kawan-kawan tanya tentang hari jadi adik esok," katanya semalam. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan