LUMUT, 24 Jan. - Polis memperhebat lagi risikan dengan menumpukan negeri Selangor dalam usaha mengesan Sharlinie Mohd Nashar, 5, yang masih belum ditemui selepas hilang berhampiran rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya dua minggu lepas.Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata tindakan memperhebatkan risikan merupakan satu alternatif selepas usaha pemeriksaan dari rumah ke rumah dijalankan dengan kerjasama beberapa pihak berkuasa.
"Saya telah mengarahkan agar risikan diperhebatkan dan lebih baik. Risikan tepat dan lebih baik serta maklumat boleh dipercayai yang disalurkan oleh orang ramai, InsyaAllah kita berjaya mengesannya," katanya kepada pemberita selepas melawat kompleks baru Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung yang bernilai RM53 juta di sini hari ini.
Beliau berkata polis dan anggota keluarga kanak-kanak malang berkenaan itu seolah-olah dipermainkan dengan maklumat palsu yang disalurkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Kita menerima banyak maklumat. Banyak maklumat yang diberi seolah-olah mempermainkan kami (polis) dan keluarga mangsa. Sudahlah keluarga itu susah (dengan kehilangan Sharlinie) dan ini pula mereka yang tidak bertanggungjawab beri maklumat palsu," katanya.
Beliau percaya bahawa Sharlinie masih berada di Selangor dan usaha mengesan kanak-kanak itu terus ditingkatkan.
"Gerakan mengesan ini bukan kita buat di Selangor sahaja tetapi gerakan ini sehingga sempadan negara. Kita periksa kenderaan yang keluar masuk di sana," katanya.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan Sharlinie dibawa keluar negara melalui jalan laut beliau berkata kawasan perairan negara adalah sangat luas dan polis tidak dapat menempatkan setiap anggotanya di setiap kawasan.
"Di sini risikan dan maklumat yang disalurkan oleh orang ramai menjadi faktor terpenting untuk mengesan di manakah kanak-kanak itu," katanya.
Musa juga menyifatkan bantuan lebih 50 bomoh kepada keluarga Sharlinie juga merupakan satu usaha yang turut membantu polis mengesannya tetapi polis tidak boleh menggunakan keterangan daripada mereka.
"Tidak salah keluarga Sharlinie mendapatkan bantuan daripada sesiapa sahaja. Perkara ini (kehilangan Sharlinie) berlaku di mana tiada saksi yang nampak, jadi apa yang polis lakukan ialah mendapatkan maklumat, mesti ada orang membantu kami dalam memberikan maklumat." - (Bernama)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan