Isnin, 28 Januari 2008

Polis yakin Sharlinie masih hidup

PETALING JAYA: Polis percaya, Sharlinie Mohd Nashar, 5, kanak-kanak yang hilang sejak 9 Januari lalu di Taman Medan PJS 2, di sini, masih hidup walaupun terdapat banyak khabar angin menyatakan kanak-kanak itu sudah mati.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata setakat ini belum ada bukti atau penemuan yang boleh dikaitkan dengan kematiannya seperti dihebahkan sesetengah pihak.

Setakat ini tiada apa-apa perkembangan ke arah itu... jadi jangan buat spekulasi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Mesra Penduduk Bersama Ketua Polis Petaling Jaya anjuran Persatuan Penduduk Blok C Pangsapuri Taman Medan Jaya di sini, pagi semalam.

Arjunaidi memberitahu, ketika ini perbincangan sedang dibuat dengan pihak tertentu bagi menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) yang akan dipasang di kawasan itu sebagai langkah mengawasi dan mencegah jenayah.

Setakat ini sudah enam CCTV dipasang di beberapa kawasan yang mempunyai kemungkinan berlaku jenayah di PJS 2 dan kita sedang berbincang untuk menambah bilangannya.

Sementara itu, ditanya mengenai strategi baru bakal digunakan polis sebagai pendekatan menyiasat kes itu beliau berkata, polis sedang menilai beberapa pendekatan dan jika perlu ia akan dilaksanakan. - Oleh Nahar Tajri dan Badrul Hizar Ab Jabar (BH)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan