
Sumber memberitahu, pengesahan itu dibuat selepas dua hari analisis dijalankan oleh pakar suara di sebuah makmal persendirian di Madrid, Sepanyol minggu lalu.
"Hasil penemuan teknikal ini dijangka dihantar kepada Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat klip video berkenaan menerusi seorang saksi yang dijangka esok (hari ini)," katanya di sini, semalam.
Minggu lalu, akhbar melaporkan dua pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) berlepas ke Sepanyol untuk mengesahkan sama ada suara dalam video klip berkenaan milik Lingam. Pegawai berkenaan berlepas Isnin lalu membawa sampel suara Lingam untuk digunakan dalam pengesahan terbabit.
Sumber itu berkata, pegawai terbabit pulang Sabtu lalu dan memberi penerangan kepada Timbalan Pendakwa Raya yang akan membantu Suruhanjaya Diraja terbabit dalam siasatan rakaman video klip berkenaan, bermula hari ini .
Sementara itu, tiga ahli politik dan tiga bekas Ketua Hakim adalah antara 16 saksi yang diminta memberikan bukti dalam siasatan berkenaan.
Mereka adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, manakala bekas Ketua Hakim yang akan memberi keterangan ialah Tun Eusoff Chin, Tun Ahmad Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairus Sheikh Abdul Halim.
Selain Lingam, ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan; peguam, R Sivarasa; Penyelaras Parti Keadilan Nasional, Sim Tze Tzin dan lima saksi daripada BPR dan wakil CyberSecurity Malaysia, turut dipanggil.
Suruhanjaya yang ditubuhkan bulan lalu itu ditugaskan menyiasat rakaman video klip berkenaan yang didakwa menunjukkan Lingam berbual melalui telefon dengan seorang hakim tidak dikenali, kononnya untuk mengatur pelantikan hakim.
Kelmarin, seorang ahli perniagaan, Loh Mui Fah mendakwa rakaman itu dibuat oleh anaknya di kediaman Lingam di Kelana Jaya pada 20 Disember 2001. Loh yang mengakui mendengar perbualan Lingam berkata, beliau sedia memberi keterangan kepada suruhanjaya terbabit.
Sementara itu, Pengerusi suruhanjaya berkenaan, Tan Sri Haidar Mohamed Noor, ketika dihubungi semalam berkata, Loh akan dibenarkan mengemukakan bukti kerana ia relevan dengan bidang kuasa siasatan iaitu untuk menentukan kesahihan perbualan dalam klip video berkenaan.
"Kita boleh memberi peluang kepadanya untuk mengemukakan bukti dan ia akan diberikan pertimbangan sewajarnya," katanya sambil menegaskan, sesiapa saja boleh tampil memberi bukti asalkan ia relevan dengan siasatan yang dibuat.
Difahamkan, semua individu yang akan memberi bukti hari ini dijangka diwakili sekurang-kurangnya seorang peguam, kecuali pegawai daripada BPR dan CyberSecurity Malaysia.
Majlis Peguam yang turut diberikan kelulusan menghadiri siasatan itu akan diwakili satu pasukan yang dianggotai lima peguam. - Oleh V Anbalagan dan R Magendran (BH)
.
Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan