Sabtu, 19 Januari 2008

JPJ Hantar Notis Peringatan Pembaharuan Lesen Memandu

KUALA LUMPUR, 18 Jan, - Pemegang lesen memandu dikehendaki mengemaskini alamat masing-masing bagi membolehkan mereka menerima notis peringatan pembaharuan lesen memandu, yang akan dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara, mulai 1 Feb.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Mustapha Abdul Rashid berkata notis itu akan dihantar melalui pos ke alamat terakhir pemegang lesen atau pemilik kenderaan berdasarkan maklumat di pangkalan data JPJ.

"Notis akan dihantar dua bulan sebelum tarikh tamat tempoh lesen. Bagi memastikan peneriman notis, pemilik lesen digalak mengemaskini alamat terakhir mereka sama ada menerusi telefon, surat, e-mel atau datang sendiri ke pejabat JPJ berdekatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Langkah memperluaskan penghantaran notis peringatan adalah ekoran kejayaan program perintis pada Februari tahun lepas yang melibatkan pemegang lesen memandu kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (CDL) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) Perdagangan di sekitar Lembah Klang dan diperluaskan ke Perak, Johor dan Pulau Pinang pada Jun tahun lepas.

Mustapa berkata notis peringatan juga dihantar kepada pemegang lesen memandu percubaan (PDL), lesen memandu dan lesen kenderaan motor (LKM) bagi kenderaan persendirian dan perdagangan.

Katanya orang ramai boleh menyemak status lesen mereka melalui laman web rasmi JPJ di www.jpj.gov.my atau menghubungi talian terus 03-8886 6412. - (bernama)
.


Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan