Isnin, 14 Januari 2008

Jenayah licik perlu kepakaran terkini PDRM

KUALA LUMPUR: Jenayah penculikan yang dilakukan ‘lelaki kucing’ membabitkan Sharlinie Mohd Nashar, 5, dikatakan antara jenayah licik lelaki ‘gila seks’ yang memerlukan kepakaran terkini Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjejaki mangsa dan menahan segera lelaki terbabit.

Mangsa dikatakan sukar dikesan jika penculik terbabit ‘mengubah suai’ termasuk membotakkan kepala dan memakaikan mangsa dengan pakaian lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Exco Agama Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Pirdaus Ismail, berkata penculikan licik menggunakan taktik ‘memujuk’ antara jenayah yang sukar dikesan.

Beliau berkata, penculikan itu dilakukan dengan teliti tanpa disedari saksi atau orang ramai berhampiran yang mungkin menganggap mangsa dibawa saudaranya.

“Bagaimanapun, orang ramai hanya menyedari mangsa sebenarnya diculik apabila ibu bapa mangsa membuat aduan polis, tetapi saksi yang kebetulan berada di tempat kejadian tidak dapat mengenal pasti suspek yang melarikan mangsa.

Penculikan ini sesuatu yang kronik dan perlu diberi perhatian kerana suspek akan melakukan apa saja, tanpa menarik perhatian orang ramai,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau mengulas kehilangan Sharlinie yang dipercayai diculik lelaki kucing, lima hari lalu.

Sebelum kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, Sharlinie dikatakan dalam perjalanan bersama kakaknya, Sharliena, 8, melalui satu lorong untuk pulang ke rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya, dekat sini, selepas bermain di taman permainan kira-kira 200 meter dari rumah mereka.

Kehilangan Sharlinie dikaitkan dengan perbuatan lelaki kucing berikutan tempat kejadian tidak sampai dua kilometer dari tempat kehilangan Nur Fatiha Zaidi, 6, yang diculik sebelum dikembalikan dipercayai dilakukan suspek sama, Isnin minggu lalu.

Pirdaus berkata, jenayah kronik ini sudah pasti sukar dikesan dan hanya boleh diusahakan dengan kepakaran teknologi yang dimiliki PDRM. - myMetro
.


Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan