Isnin, 14 Januari 2008

Janji ibu bapa Sharlinie kepada penculik


PETALING JAYA 13 Jan. – Ibu bapa Sharlinie Mohd. Nashar, 5, yang masih marah dan sedih atas kehilangan kanak-kanak tersebut berjanji tidak akan berdendam dengan penculik anak mereka itu.

Sebaliknya ibu Sharlinie, Suraya Ahmad ketika membuat rayuan kepada penculik berkenaan dalam nada sebak dan beberapa kali mengesat air mata di pipi di sisi suaminya, Mohd. Nashar Mat Hussain berkata:

Kami cuma mahukan Linie selamat. Pulangkanlah anak kami, kami sangat rindukan dia... tolonglah kamu (penculik) pulangkan Linie.

Memanglah kami masih marah (dengan apa yang terjadi), mana ada ibu yang boleh terima anaknya diculik orang. Tapi kalau kamu (penculik) pulangkan Linie dengan selamat, kami janji tak akan berdendam dengan kamu, kami cuma nak anak kami... itu saja yang kami harapkan, kasihanilah kami.”

Ketika Suraya ditemu bual oleh wartawan, Mohd. Nashar tidak berkata apa-apa tentang rayuan isterinya itu.

Tubuh badannya kelihatan sangat lemah kerana keletihan berjaga dan ‘ke sana ke mari’ sejak empat hari lalu manakala raut wajahnya jelas menunjukkan kemurungan, kesedihan dan kekecewaannya.

Sepanjang hari ini para pemberita ‘hampa’ tidak mendapat sebarang kenyataan daripada Mohd. Nashar yang sekadar menjawab “no comment (tiada komen), no comment.

Namun apabila Suraya menangis teresak-esak di hadapannya sambil memberitahu wartawan tentang rayuannya kepada penculik supaya memulangkan Sharlinie, Mohd. Nashar mengangguk-angguk tanda setuju apa diperkatakan isterinya itu.

Dalam pada itu, Suraya yang tidak menang tangan melayani wartawan dan pemimpin yang mengunjungi mereka berkata:

Kami sekeluarga merindui Linie dan harap dapat berkumpul semula dan menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya sambil mengesat air mata.

Mengenai penemuan patung kanak-kanak perempuan kira-kira 100 meter dari rumahnya, Suraya berkata:

Apa yang saya tahu... patung itu milik anak jiran saya, ia bukan kepunyaan Sharlinie.”

.


Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan