Jumaat, 25 Januari 2008

Branson lancar SpaceshipTwo pelancongan ke angkasa lepas

NEW YORK 24 Jan. - Jutawan British, Richard Branson memperkenalkan model pesawat angkasa SpaceshipTwo, yang bakal membawa pelancong ke angkasa lepas dijangka bermula tahun 2010.

Presiden syarikat penerbangan Atlantic Virgin itu turut mengumumkan model pesawat pengangkut WhiteKnightTwo yang akan menerbangkan pesawat angkasa itu ke udara, sebelum memasuki ke ruang atmosfera.

"Tahun 2008 akan menjadi tahun pembinaan pesawat angkasa itu," katanya pada satu sidang media di sini.

Branson berkata, reka bentuk kedua-dua pesawat itu sangat menarik dan diluar jangkaan.

Katanya, setakat ini lebih 200 orang telah mengesahkan hasrat mereka untuk melancong ke angkasa lepas menggunakan pesawat berkenaan dan 85,000 lagi telah menyatakan minat sama.

Setiap pelancong akan dikenakan bayaran sebanyak AS$200,000 (RM660,000) bagi merasai pengalaman berada di angkasa lepas selama kira-kira lima minit.

Pembinaan kedua-dua pesawat itu dijangka siap menjelang akhir tahun ini. SpaceshipTwo dijangka mampu membawa enam penumpang dan dua anak kapal.

Ia akan dibina oleh syarikat pengeluar kapal terbang, Scaled Composites di Mojave, California, dan dijangka mampu membawa pelancong ke angkasa sehingga mencapai ketinggian 110 kilometer dari bumi.

Sementara itu, bakal pelancong angkasa, Natasha Pavlovich berkata, beliau terpaksa berebut untuk menjadi antara penumpang pertama pesawat itu, dijadualkan pada 2010.

"Saya akan menjadi pelancong angkasa pertama dari negara Yugoslavia. Saya ingin menyaksikan dengan mata sendiri kehebatan alam ciptaan Tuhan," katanya. - AFP



Tiada ulasan:

Catat Ulasan