Jumaat, 16 November 2007

Pengarang dedah konspirasi jatuhkan Tunku


PETALING JAYA: Pengarang buku The Unmaking of Malaysia, yang memaparkan perbezaan ketara antara kepimpinan Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr Mahathir Mohamad, mendedahkan satu usaha sulit yang dijalankan bagi menjatuhkan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

Ahmad Mustapha Hassan, 71, menulis, beberapa individu termasuk beliau mengetuai gerakan itu yang berkempen supaya Abdul Razak bertanding kerusi presiden parti tersebut yang pada masa itu disandang Tunku.

"Kami telah menulis beberapa rencana mengenai hal-ehwal yang berlaku di dalam negara dan rencana-rencana ini menjadikan Tunku sebagai sasaran," tulisnya.

Beliau memberi contoh, salah satu tulisan mengenai pertandingan membaca Al-Quran dilaporkan dengan tajuk "The Qur'an Olympics are here again" (Olimpik al-Quran kembali lagi).

Jelasnya, kempen itu dijalankan pada penghujung 1960-an apabila mereka, yang berada dalam pergerakan Pemuda Umno, melihat perdana menteri pertama itu tidak lagi mengambil berat persoalan rakyat.

"(Keadaan pada masa itu) seolah-olah menunjukkan satu-satunya pemimpin yang bekerja adalah Tun Razak. Kami hanya menemui Tunku di majlis-majlis tidak rasmi seperti parti joget di kompleks Perdana Menteri di mana joget yang paling disukai oleh Tunku adalah 'ayam didik'," tulisnya lagi.

Selain menggunakan media, kumpulan itu turut bergantung pada kemudahan-kemudahan lain. Bagaimanapun Ahmad Mustapha tidak menyebutnya secara terperinci.

"Tunku kemudiannya mengetahui perkara ini dan memanggil kami sebagai pemuda yang masih mempunyai 'ubun-ubun lembik'," tulisnya di dalam buku setebal 272 halaman itu.

Abdul Razak kemudian menyedari konspirasi kumpulan itu dan mengarahkan mereka supaya menghentikan segera kempen menjatuhkan Tunku.

Tokoh itu bagaimanapun tidak menemui mereka serentak tetapi berasingan untuk menyampaikan perasaan tidak senangnya, kata pengarang.

"Dia tidak akan menyokong kami. Ini adalah bukti bahawa Tun Razak adalah sangat setia kepada Tunku, bukan sahaja sebagai presiden Umno tetapi juga sebagai Perdana Menteri ulung bagi negara ini," katanya.

Ahmad Mustapha pada masa itu berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Abdul Razak dan kemudiannya kepada Dr Mahathir sewaktu beliau menjawat timbalan perdana menteri.

Abdul Razak disifatkannya sebagai pemimpin yang bekerja keras membasmi kemiskinan, namun usaha itu telah digagalkan oleh pemimpin-pemimpin seterusnya.

Tulisnya lagi, walaupun keadaan kesihatan pemimpin negara itu semakin merosot, allahyarham tetap berkeras untuk melawat kawasan-kawasan luar bandar bagi memantau projek-projek pembangunan.

Ahmad Mustapha juga sering mengulangi kenyataan bahawa Abdul Razak bekerja 12 jam sehari dan mengembara sejauh kira-kira 60,000 batu mengelilingi Malaysia untuk melihat perkembangan tersebut yang disifatkan sebagai "kegiatan masa lapang" pemimpin tersebut.

"Tidak ada orang pada masa itu atau pada masa sekarang yang boleh menandingi dedikasi yang diberikan kepada usahanya untuk mengembalikan kestabilan ekonomi di kalangan rakyat," jelasnya lagi.

Oleh SALHAN K. AHMAD (mStar)



: Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan