Isnin, 19 November 2007

Larangan simpan MyKad pengunjung

ALOR STAR: Kementerian Keselamatan Dalam Negeri mengarahkan syarikat kawalan keselamatan memberhentikan segera amalan membenarkan pengawal keselamatan menyimpan dokumen sekuriti pelawat, termasuk kad pengenalan pengunjung yang memasuki premis tertentu.

Arahan itu dikeluarkan kementerian berkenaan baru-baru ini, melalui satu pekeliling bertarikh 25 September lalu dan ditanda tangani Ketua Setiausaha Kementerian itu, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Pekeliling itu diedarkan kepada semua syarikat kawalan keselamatan yang berdaftar bawah kementerian berkenaan berikutan wujud kekeliruan orang ramai mengenai kuasa menyimpan dokumen sekuriti yang dikeluarkan kerajaan, termasuk kad pengenalan, lesen memandu dan pasport.

Pekeliling itu dikeluarkan berikutan kementerian menerima aduan kebimbangan daripada pelbagai pihak kemungkinan wujud sindiket mencuri data penting dalam dokumen sekuriti itu bagi tujuan tertentu.

Ia berikutan kad pengenalan MyKad mempunyai pelbagai aplikasi, termasuk mengandungi data perbankan pemegang.

"Amalan menyimpan dokumen sekuriti oleh syarikat kawalan keselamatan berdasarkan peraturan dalaman yang dikeluarkan pengurusan premis tempat mereka bekerja atau majikan.

"Terdapat aduan orang awam yang tidak berpuas hati dengan amalan ini kerana ia boleh membawa kepada insiden tidak diingini seperti kecurian identiti dan pemalsuan dokumen.

"Berikutan itu, kementerian mengarahkan syarikat kawalan keselamatan menghentikan serta merta perbuatan menyimpan dokumen itu, sebaliknya dokumen identiti pelawat hanya boleh direkodkan dan dikembalikan semula kepada pemiliknya," kata pekeliling itu.

Katanya, syarikat kawalan keselamatan yang gagal mematuhi peraturan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Agensi Persendirian 1971. - myMetro



Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan