
KUALA LUMPUR 21 Nov. – Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) menetapkan sasaran jualan sehingga 600 unit setahun bagi model baru Stream generasi kedua yang dilancar di Malaysia bermula hari ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Atsushi Fujimoto berkata, kenderaan pelbagai guna tujuh penumpang (MPV) baru itu, yang diimport sepenuhnya akan dijual pada harga atas jalan RM149,800 termasuk insurans dan cukai jalan.
“Berbeza dengan Stream generasi pertama memiliki enjin berkapasiti 2.0 liter, model baru ini berkapasiti 1.8 liter,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran model tersebut, di sini hari ini.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Wakil Pembangunan Automobil Honda Motor Co. Ltd. (Jepun), Yutaka Fujiwara.
Menurut Fujimoto, prestasi dan harga Stream generasi kedua itu adalah seimbang dan ia mampu menarik minat generasi muda.
“Reka bentuk model baru ini adalah lebih dinamik dan moden serta telah diperkenalkan di Jepun lebih setahun lalu,” katanya.

Pelanggan model baru itu juga dijanjikan dengan jaminan tiga tahun dan servis percuma untuk tempoh enam bulan pertama selepas pembelian, katanya.
‘‘Pelanggan model baru ini juga ditawarkan diskaun sehingga 15 peratus bagi semua alat gantinya. Kami turut menawarkan aksesori ‘Modulo’ bagi model itu di semua wakil Honda yang sah,” katanya.







Honda Stream generasi kedua itu boleh didapati di semua 53 wakil Honda di seluruh negara mulai hari ini.
Sejak September 2007, sebanyak 75,000 unit model tersebut telah dijual di Jepun dalam jangka masa kurang daripada satu tahun, katanya.












Jika anda mempunyai sebarang cadangan atau pandangan mengenai Artikel / 'Poasting' di atas, Kami mengalu-alukan komen anda kepada kami. [ sebarang aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya ]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan