Pengambilan pada permulaan hidangan pengaruhi selera makan
LONDON: Saintis Amerika Syarikat berpendapat memakan sup bersama satu hidangan setiap hari mungkin adalah ‘rahsia’ bagi menyelesaikan masalah obesiti, lapor The Independent, semalam.
Mereka yang mengisi perut dengan sup pada permulaan hidangan secara keseluruhan akan kurang makan, kata satu kajian sambil menambah hidangan tambahan sebenarnya membantu mereka mengurangkan berat badan.
Regim sup berkenaan dicadangkan oleh penyelidik Universiti Pennsylvania State yang menjalankan ujian terhadap responden.
Mereka mendapati responden yang memakan hidangan permulaan dengan sup sebelum makan tengah hari mampu mengurangkan pengambilan kalori keseluruhan makanan mereka sebanyak lima kali berbanding mereka yang terus menjamu hidangan tanpa memulakannya dengan sup.
Bagaimanapun, mereka menekankan sup berkenaan mestilah berkalori rendah sambil menambah sup krim bersama hidangan akan memberi kesan bertentangan dan meningkatkan pengambilan kalori keseluruhan serta menyebabkan berat badan meningkat.
Kajian yang disokong Institut Kesihatan Kebangsaan itu dibentangkan pada persidangan Eksperimen Biologi di Washington, kelmarin.
Barbara Rolls, profesor nutrisi dan juga penulis bersama kajian itu berkata, ia memberikan petanda awal terhadap peranan sup berkalori rendah sebagai cara untuk mengurangkan pengambilan makanan.
“Kajian awal menunjukkan pengambilan sup mungkin paling bermakna, jadi kajian ini bertujuan mengenal pasti perbezaan bentuk sup mungkin memberi kesan berbeza terhadap pengambilan makanan,” katanya. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan