Perubahan iklim, pencemaran jejas berjuta-juta manusia
NEW DELHI: Perubahan iklim, pencemaran, pengambilan air secara berlebihan dan pembangunan ‘membunuh’ beberapa sungai terkenal dunia termasuk Sungai Yangtze di China, Sungai Ganges di India dan Sungai Nil di Afrika, kata kumpulan pemulihan alam sekitar Yayasan Perlindungan Alam Semula Jadi (WWF), semalam.
Ketika melancarkan laporan global ‘10 Sungai Dunia Hadapi Risiko’ kumpulan yang berpangkalan di Geneva itu berkata, banyak sungai dijangka kering dan menjejaskan berjuta-juta manusia yang bergantung kepadanya, selain kematian hidupan air yang unik.
“Jika sungai berkenaan mati, berjuta-juta orang akan kehilangan sumber kehidupan mereka, manakala sistem kitaran alam akan terjejas teruk. Kita juga akan kekurangan air bersih untuk keperluan harian dan pertanian yang akan mengakibatkan kekurangan makanan,” kata setiausaha agung WWF India, Ravi Singh.
Laporan itu yang dilancarkan menjelang ‘Hari Air Sedunia’ esok juga menamakan Rio Grande di Amerika, Sungai Mekong dan Indus di Asia, Sungai Danube di Eropah, Sungai La Plata di Amerika dan Sungai Murray-Darling memerlukan perlindungan yang bersungguh-sungguh.
Ravi berkata, sungai adalah sumber air bersih utama dunia dan kira-kira separuh daripada bekalan yang ada sudah digunakan.
“Empangan memusnahkan habitat dan memotong sungai, manakala perubahan iklim boleh menjejaskan saliran yang mengairinya,” katanya.
Laporan itu juga mendapati kehidupan ikan yang menjadi sumber protin dan sokongan hidup beratus ribu masyarakat di seluruh dunia juga turut terancam.
Lembangan Yangtze adalah antara sungai paling tercemar di dunia berikutan perkembangan industri, pembinaan empangan dan aliran endapan yang terlalu banyak dari kawasan daratan yang diubahsuai kepada pelbagai kegiatan.
Perubahan iklim termasuk sungai yang semakin tinggi, juga bererti pengeluaran hasil perikanan dan bekalan air serta sistem spolitik di Lembangan Sungai Nil di Afrika akan terjejas.
Lembangan Ganges meliputi satu pertiga kawasan tanah di India manakala seorang bagi setiap 12 orang di dunia bergantung kepada sungai ini untuk kegiatan perikanan dan pertanian, kata WWF. – Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan