Ahad, 18 Februari 2007

Sifat jadi ubat penyakit buatan manusia

SETIAP penyakit ada penawarnya kecuali tua. Begitu juga dengan penyakit terkena sihir. Bagaimanapun, kita perlu memastikan cara pengubatan itu tidak terkeluar daripada syariat Islam.

Pekara yang lebih penting, kita perlu menginsafi bahawa hanya Allah yang berkuasa untuk menyembuhkan sesuatu penyakit itu.

Paling penting kita tidak seharusnya berputus asa dan banyak berdoa kepada Allah meminta supaya disembuhkan penyakit berkenaan.

Kita jangan lupa bahawa sesungguhnya yang menyembuhkannya adalah Allah dan segala sesuatu terjadi atas kehendak Allah.

Kesembuhan daripada penyakit ini tidak akan wujud kecuali dengan dua perkara. Pertama bersifat pokok dan kedua bersifat cabang.

Ada pun yang pokok terbahagi dua iaitu kembalinya seorang hamba kepada Tuhannya (Allah) dengan taubat yang benar daripada segala dosa hingga semua bekasnya hilang.

Kedua, berpegang teguh pada ajaran Allah supaya dia tidak tersesat.

Perkara cabang pula melaksanakan usaha. Ini perkara sangat penting dalam syariat yang diajarkan Allah dan rasul-Nya.

Contohnya, Allah mengetahui penyakit Nabi Ayyub dan Dia mampu menyembuhkannya hanya dengan berkata: "Jadilah, maka terjadilah", tetapi Allah menyuruh Nabi Ayyub berusaha untuk sembuh iaitu dengan mandi dan minum, padahal kita tahu Nabi Ayyub dalam keadaan sakit.

Ini bertujuan mengajarkan kita supaya berusaha dengan meyakini bahawa yang menyembuhkan adalah Allah kerana Dia yang mentakdirkan sebab kesembuhan.

Daripada Usamah bin Syarik berkata:
"Seseorang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata:
"Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik."
Nabi SAW menjawab:
"Yang paling baik akhlaknya."
Kemudian orang itu bertanya lagi kepada Rasulullah SAW:
"Wahai Rasulullah, apakah kita harus berubat?"
Nabi SAW menjawab:
"Berubatlah kamu kerana sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit kecuali menurunkan ubatnya, diketahui oleh orang yang mengetahuinya dan tidak diketahui oleh orang tidak mengetahuinya."


Dalam suatu lafaz disebutkan seorang A'rabi berkata: "Wahai Rasulullah! Apakah kita harus berubat?"
Rasulullah SAW menjawab: "Ya, wahai hamba-hamba Allah, berubatlah kamu kerana sesungguhnya Allah tidak meletakkan suatu penyakit kecuali Dia meletakkan penyembuhnya."
Dalam satu riwayat disebut "ubatnya kecuali satu penyakit."
Mereka berkata: "Wahai Rasulullah apa itu?"
Rasulullah SAW menjawab: "ketuaan."

Rasulullah menyuruh orang A'rabi itu untuk melakukan sebab kesembuhan (berubat) dengan sabdanya: "Wahai hamba Allah, berubatlah kamu."

Usaha dimaksudkan dalam perkara ini ada dua jenis:

l Hendak orang yang sakit mencari orang yang boleh mengubati (mu'alij) berdasarkan ketakwaan kepada Allah hingga dia tidak mengubati kecuali dengan apa yang ada dalam al-Quran dan sunnah.

l Orang yang sakit harus melaksanakan apa yang diperintahkan oleh mu'alij dengan penuh kepercayaan bahawa yang menyembuhkan adalah Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan