KUALA LUMPUR 13 Dis. – Satu daripada setiap lima kotak rokok yang dijual di negara ini adalah produk tiruan dan mempunyai kandungan tar serta nikotin melebihi had dibenarkan kerajaan.
Menurut kajian yang dijalankan oleh firma penyelidik pasaran bebas antarabangsa dari United Kingdom, TNS, rokok tiruan itu dibawa masuk ke negara ini dari beberapa negara terutama Filipina, Indonesia dan Korea Selatan.
Kajian itu turut mendapati sejumlah 16 bilion batang rokok dari pelbagai jenama dibeli rakyat negara ini setiap tahun.
Ketika mendedahkan perkara itu, Naib Presiden dan Pengurus Besar Serantau (Malaysia dan Singapura) JT International Trading Sdn. Bhd. (JTI), Martyn Griffiths berkata, kegiatan menyeludup rokok tiruan melibatkan semua jenama rokok di negara ini.
“Selain menjejaskan prestasi jualan rokok di negara ini termasuk yang diedarkan oleh JTI, kegiatan itu turut merosakkan industri tanaman tembakau tempatan dan menyebabkan kerugian kepada kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Kerajaan menetapkan sebatang rokok di negara ini tidak boleh mengandungi lebih daripada 20 miligram tar dan 1.5 miligram nikotin selain hanya boleh dijual kepada pelanggan yang berumur 18 tahun ke atas.
Mengulas lanjut, Griffiths berkata, pihaknya turut menghadapi kesukaran untuk membuat perbandingan antara rokok tulen dan tiruan kerana kedua-dua produk mempunyai persamaan terutama dari segi kotak dan pembungkusan.
Katanya, JTI percaya kegiatan tersebut merupakan antara penyumbang utama kepada kegagalan ‘Kempen Tak Nak’ anjuran kerajaan yang bertujuan mengurangkan jumlah perokok di negara ini.
Jelas beliau, jumlah perokok semakin meningkat walaupun hampir kesemua syarikat tembakau mencatatkan kemerosotan jualan yang agak ketara di peringkat tempatan sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu, JTI akan melancarkan inisiatif maklumat pelanggan dalam masa terdekat bagi meningkatkan tahap kefahaman golongan perokok mengenai produk tembakau di negara ini.
“Dengan bertemakan ‘tiada rokok yang selamat’, inisiatif ini melibatkan kempen menyedarkan golongan perokok tentang keburukan tabiat menukar rokok dan kaedah terbaik untuk berhenti merokok,” katanya.
JTI merupakan unit JT International, anak syarikat Japan Tobacco Inc. yang menjadi pengeluar barangan tembakau ketiga terbesar dunia.
[ Sumber ]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan