Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, ubat yang dijual melalui Internet walaupun harganya kelihatan murah tetapi ia kemungkinan besar merupakan ubat palsu atau ubat yang tidak didaftarkan dengan kementerian.
‘‘Orang ramai dinasihati jangan terlalu percaya dengan iklan-iklan ubat yang disiarkan dalam Internet kerana kandungan ubat dan bahan kosmetik berkenaan mungkin berbahaya.
‘‘Kajian di peringkat antarabangsa mendapati 40 hingga 50 peratus ubat yang dijual melalui Internet tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,’’ kata Soi Lek kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ubat Bercampur Aduk di sini hari ini.
Menurut Soi Lek, penjualan ubat-ubatan melalui Internet di negara ini semakin berleluasa dan dijangkakan ramai yang telah melanggan perkhidmatan itu.
Katanya, antara sebab orang ramai membeli ubat melalui Internet ialah rakyat di negara ini malu berjumpa pakar perubatan untuk mendapatkan rawatan.
‘‘Golongan yang sering membeli ubat melalui Internet ialah lelaki yang tidak puas hati dengan tenaga batin mereka.
‘‘Mereka malu untuk mendapatkan khidmat perubatan daripada doktor, dan mengambil jalan mudah dengan membeli ubat-ubatan seperti viagra melalui Internet,’’ katanya
Tambahnya, wanita pula lebih cenderung membeli bahan kosmetik, produk penjagaan kulit dan ubat pelangsing melalui Internet.
Sumber dr. Utusan - 06/12/2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan