Selasa, 14 November 2006

Mi Hokkien Miliki Paras Asid Borik Tertinggi

PULAU PINANG, 29 Jun (Bernama) - Penggemar Mi Hokkien kini perlu berhati-hati ketika mengambil makanan itu kerana ia didapati mengandungi paras asid borik yang paling tinggi dan boleh menimbulkan pelbagai kesan kesihatan.

Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek berkata hasil analisis mendapati mi itu mengandungi 33 peratus asid borik dan jika diambil secara berlebihan, ia boleh menimbulkan masalah loya dan muntah, ceret-beret, kegagalan buah pinggang, kegagalan sistem peredaran darah dan boleh membawa maut.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat Hospital Balik Pulau di sini, beliau berkata semua komplikasi itu bergantung kepada jumlah kandungan asid borik, iaitu bahan pengawet makanan, yang dimakan oleh pengguna.

Mi Wantan dan mi kuning turut mengandungi paras asid borik yang tinggi iaitu masing-masing 18 peratus dan enam peratus manakala kuey teow dan bihun mempunyai kandungan asid borik yang lebih rendah.

Beliau berkata penggunaan asid borik tidak dibenarkan menurut Akta Makanan 1983 dan dalam operasi Kementerian Kesihatan sehingga April lalu, Selangor mendahului senarai pelanggaran tertinggi penggunaan asid borik iaitu 19 peratus diikuti Pulau Pinang sebanyak 16 peratus. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan