Jumaat, 23 Jun 2006

Jubli Emas DBP: Bahasa Melayu hilang kedaulatan

 




queenly ruby
Originally uploaded by xenonb..


Wed | Jun 21, 06 | 12:24:21 PM
Oleh Azamin Amin

Esok adalah Sambutan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semenjak ditubuhkan pada 16 - 21 September 1956 hasil Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-3.

Dan hakikatnya setelah 50 tahun, walaupun tidak dinafikan usaha DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu namun seperti kata bekas Ketua Pengarah DBP, Dato' A. Aziz Deraman dalam salah sebuah akhbar, "Usaha memerkasakan bahasa negara sendiri kian sepi dan terbantut."

Selain itu para pemimpin kerajaan, ahli politik, tokoh akademik dan cendekiawan juga begitu ghairah menggunakan bahasa asing di negara sendiri seperti dalam upacara perasmian,seminar, sidang media dan pertuturan ketika bersama rakyat seolah-olah meminggir bahasa ibunda dan menunjukkan bahawa betapa tidak seriusnya kerajaan, swasta dan masyarakat dalam mendaulatkan bahasa Melayu dan DBP hanyalah disifatkan sebagai badan memantau dan menasihati sahaja dan tidak dapat bertindak terhadap 'penyalahgunaan' bahasa.

Masyarakat juga tidak terkecuali, apabila bahasa yang caca marba mengambil tempat dalam urusan seharian baik secara rasmi ataupun tidak, sedangkan Indonesia contohnya, masyarakatnya baik daripada golongan menengah (menteri, pemimpin) ataupun golongan rendah (rakyat miskin, penarik beca) semuanya menggunakan bahasa yang senada, kemas dan berkualiti.

Begitu juga dengan Jepun, Korea, Arab Saudi (sekadar menyebut beberapa nama) masih utuh mempertahankan jati diri dan maju dengan menggunakan bahasanya sendiri.

Mengulas tentang nasib dan masa depan bahasa Melayu selama ini, Presiden Linguistik Malaysia (PLM), Dr Awang Sariyan berkata, bahawa kekangan yang dihadapi ialah Akta Bahasa Kebangsaan 1967 sendiri tidak lagi dihormati dan secara sendirinya menyebabkan DBP tidak dapat berperanan dengan begitu baik.

"Sedangkan akta tersebut yang diluluskan oleh Parlimen, mewajibkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang tunggal dalam segala urusan rasmi dan pengurusan negara." katanya.

Kata beliau dikukuhkan lagi dengan Dato' Aziz Deraman yang dipetik sebagai berkata, " ada kecenderungaan dalam pengurusan dan pentadbiran menggunakan bahasa Inggeris secara bercampur - rasmi dan tidak rasmi."

Dr Awang Sariyan juga menyatakan bahawa permasalahan-permasalahan ini berlaku kerana kegagalan sebahagian besar masyarakat memahami bahawa falsafah bahasa adalah sebagai tonggak tamadun bangsa dan turut mencadangkan supaya DBP diberi tanggungjawab dan kuasa yang lebih luas dari sudut penguatkuasaan supaya objektif mendaulat bahasa Melayu itu tercapai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan