2+4 hrs...Twogether Fourever

/

Bahasa Melayu........

Mengapa guna bahasa asing?

Oleh SUHARNE ZAINUDIN, (Sinar Harian, 26 November 2012)

 

"MEMANG wujud kesukaran dalam mencipta sesuatu istilah," kata Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan.

Namun begitu katanya, bukanlah alasan untuk melabelkan bahasa Melayu sebagai satu bahasa tiada standard. Hal ini tidak berlaku pada bahasa Melayu sahaja, bahasa lain turut menghadapi keadaan serupa termasuklah bahasa Inggeris.

 

Bahasa Inggeris, lebih 65 peratus daripada kosa kata tidak termasuk istilah bukan asli berasal daripada bahasa tersebut. Ada yang diambil daripada bahasa Arab dan Perancis.

 

"Contohnya perkataan bread (roti) diambil daripada bahasa Jerman, brott dan menurut kamus dwibahasa RJ Wilkinson, perkataan compound (kompaun) berasal daripada perkataan kampung," jelasnya.

 

Awang berkata,  dalam bidang sains istilah atau perkataan sebahagiannya diambil daripada perkataan bahasa asing kerana amat sukar untuk dicari atau dipadankan ke dalam bahasa Melayu. Oleh itu, perkataan atau istilah asing yang diperoleh diambil dan diubah suai.

 

"Mencipta sesuatu istilah bukan mudah. Ia memerlukan kajian mendalam dan memakan masa lama. Harus diingat, mencipta istilah atau menggubal sesuatu istilah bukan bidang kuasa DBP sebaliknya golongan cendekiawan atau sarjana yang terlibat secara langsung dalam bidang berkenaan.

 

"Peranan DBP sebagai penyelaras yang melantik dan mempertemukan ahli ilmu daripada pelbagai bidang sebagai jawatankuasa istilah bagi tujuan menggubal dan mencipta istilah menurut bidang masing-masing," katanya sambil memberitahu DBP antara lain berperanan memberi khidmat nasihat dari segi bahasa, tatabahasa dan ejaan.

 

Menjawab pertanyaan, mengapa banyak berlaku keadaan menggunakan bahasa asing yang diubah suai sedangkan bahasa Melayu mempunyai perkataan bagi maksud serupa, beliau berkata, hal ini terjadi kerana tidak merujuk DBP terlebih dahulu.

 

"Contohnya perkataan bajet, kita ada belanjawan; konsisten, kita ada tekal; kolaborasi, kita ada kerjasama; informasi, kita ada maklumat. Tetapi orang tidak peka.

 

"Mahu juga menggunakan bahasa asing yang diubah suai sendiri, seterusnya kekal dan diisytiharkan sebagai bahasa, sedangkan belum lagi diangkat sebagai bahasa baku," ujar Awang.

 

Di dalam kamus DBP, beliau menambah, mana-mana perkataan ditandakan dengan BP adalah penanda bagi merujuk perkataan tersebut sebagai bahasa percakapan umum.

 

"Saya mengajak supaya agensi kerajaan, pihak swasta mahupun NGO merujuk dengan DBP terlebih dahulu sebelum mencipta sesuatu singkatan, istilah ataupun mencipta sesuatu perkataan. Ini penting dalam usaha menjaga dan memartabatkan bahasa Melayu," katanya.

 


 

Bahasa Melayu ada nilai komersial

 

"DISEBABKAN Malaysia bukan sebuah negara yang mempunyai kuasa ekonomi utama dunia, bahasa Melayu perlu bersaing dengan bahasa lain di dunia ini bagi memastikan ia tidak terkebelakang," kata bekas pensyarah Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Fakulti Bahasa Moden Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Lim Swee Tin.

 

Menurutnya, walaupun dari segi konteks ekonomi bahasa Melayu dilihat masih terkebelakang, ia bukan alasan untuk terus tidak meletakkan bahasa ini pada landasan persaingan.

 

Bahasa Melayu mempunyai kekuatan lain dan berpotensi diletakkan sebagai satu bahasa berdaya saing di peringkat global contohnya menerusi sektor pelancongan seterusnya lanjutan daripada itu, sudah tentu dalam bidang kesenian dan kesusasteraan juga kebudayaan yang mana boleh mampu dijadikan satu aset besar.

 

Jika Korea mengeksport lagu yang dikenali sebagai K-pop ke serata dunia sebagai satu bahan komoditi yang sangat besar demikian negara Amerika Latin yang mengeksport drama bersiri dan filem mengapa tidak Malaysia? Apa yang dilakukan oleh negara-negara tersebut secara tidak langsung telah memperkenalkan bahasa mereka kepada dunia,” kata Swee Tin.

 

Penerima Southeast Asian Write Award (2000), penghargaan tertinggi bidang kesusasteraan di Asia Tenggara oleh kerajaan Diraja Thailand ini berkata, hal ini menunjukkan bahawa kesenian, kebudayaan dan kesusasteraan memberi impak dalam usaha memperbesarkan khalayak bahasa Melayu di seluruh dunia.

 

Seperti Jerman dan Perancis yang memiliki kesusasteraan tinggi dengan tersebar luas karya mereka ke seluruh dunia. Tidak dinafikan dengan itu telah memberi daya tarikan (dunia) untuk mempelajari bahasa tersebut juga begitu besar.

 

Saya mendapat makluman bahawa pengajian yang berasaskan bahasa Melayu sudah luas berkembang, ertinya banyak institusi pengajian di luar negara membuka pengajian bahasa Melayu bahkan menjadi bahasa moden pilihan di peringkat kolej, sekolah dan institusi pengajian tinggi lain,” katanya sambil memberitahu ini membuktikan bahawa bahasa ini punyai potensi sangat besar terutama di rantau Asia Tenggara.

 

Beliau menambah peluang penyebaran dan memperkenalkan bahasa ini perlu direbut menerusi sektor pelancongan melalui kesenian yang pesat berkembang dengan puluhan juta kedatangan pelancong asing setahun.

Nilai komersial

 

Di Malaysia kita ada berjuta pengguna. Pada umumnya siapakah yang memahami maklumat barang jualan dalam bahasa Melayu? Bukankah sebahagian besar rakyat memahaminya, dan dengan itu produk dalam atau luar negara perlu penerangan dalam bahasa Melayu.

 

Ini menunjukkan bahasa ini mempunyai nilai komersial tersendiri. Mahu tidak mahu perlu diterima hakikat bahawa bahasa Melayu menjadi pelaris kepada jualan. Bayangkan jika semua produk seluruhnya menggunakan bahasa luar yang tiada siapa boleh faham siapakah yang akan membelinya,” tegasnya.

 

Mengulas lanjut dengan mengambil contoh drama Melayu, Swee Tin berkata, ia telah diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat malah mendapat tunjangan daripada golongan pengiklan.

 

Terdapat buku terbitan negara dalam bahasa Melayu dibeli pelbagai lapisan masyarakat daripada pelbagai kaum. Sesetengahnya dengan jumlah cetakan besar yang mana membuktikan bahawa apa-apa saja yang dihasilkan menggunakan bahasa Melayu tetap mempunyai nilai komersialnya,” katanya sambil memberitahu apa yang masih tertinggal adalah untuk mempertingkatkan lagi ke peringkat tinggi dan membanggakan.

 


 

Penggunaan bahasa tiada kompromi

 

UNTUK memastikan bahasa Melayu terus berada pada kedudukan yang bermaruah, Dr Lim Swee Tin berkata, usaha harus dilakukan bagi menggerakkannya.

 

Apa jua situasi bersifat rasmi seperti teks ucapan, persidangan atau penulisan hendaklah menggunakan bahasa Melayu, apatah lagi yang bersifat kebangsaan. Hal ini perlu diterima tanpa soal. Namun, dalam konteks komunikasi peribadi atau tidak rasmi sesiapa sahaja bebas menggunakan apa-apa bahasa tanpa sekatan atau halangan,” katanya.

 

Swee Tin berkata, hendaklah dijadikan amalan biasa apabila surat-menyurat rasmi tidak kira apa jua sektor menggunakan bahasa Melayu, dalam pada itu turut dilampirkan terjemahan dalam bahasa yang difikirkan menjadi bahasa pengantaraan umum, contohnya bahasa Inggeris.

 

Tetapi yang menjadi masalah kita kini, banyaknya bahan dalam bahasa Inggeris tanpa terjemahan Melayunya yang mana ini sudah tentu mencalarkan kedudukan bahasa tersebut sebagai Bahasa Kebangsaan negara,” tegasnya sambil memberitahu sektor media wajar memainkan peranan bersungguh-sungguh.

 

Katanya, kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan turut tercalar apabila terdapat golongan pemimpin yang memandang remeh hal tersebut.

 

Lihat sahaja di dalam persidangan Parlimen, ramai pemimpin yang berucap tunggang-langgang, tidak menggunakan bahasa Melayu yang betul, malah ada yang mencampuradukkan bahasa,” katanya.

 

Tegasnya, segala apa yang melibatkan bahasa Melayu tidak boleh dipandang remeh atau diperlekehkan.

 

Kerana bahasa kita perlu hidup seiring terutamanya dalam usaha menjadikannya bahasa besar dunia,” katanya.

 

Sekadar berkongsi, Swee Tin bercerita pengalamannya dalam satu program di Sabah. Seluruh ceramahnya termasuk sesi soal jawab dilangsungkan dalam bahasa Melayu dengan sebahagian besar pesertanya adalah remaja Kadazan-Dusun.

 

Semasa sesi berehat iaitu di luar acara rasmi ada peserta bercakap mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa warisan Kadazan-Dusun kepada saya yang bertujuan memperluaskan pengetahuan saya dalam bahasa tersebut. Ini sesuatu yang unik, kerana remaja berkenaan boleh memisahkan situasi rasmi dan tidak rasmi,” katanya.

 

Namun sebaliknya, beliau berkata hal ini tidak keseluruhannya berjaya dilakukan oleh golongan menteri atau barisan pemimpin negara.

 

Kadang-kadang menteri kita sendiri pun tidak boleh memisahkan antara situasi rasmi dan sebaliknya. Ada yang berucap tunggang-langgang. Ini menyumbang kepada pencemaran bahasa sekali gus perlekehkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa yang bermaruah dan berdaulat,” katanya.

 


 

Bahasa Melayu bakal jadi bahasa keempat terbesar dunia

 

Sasterawan Negara, Prof Dr Muhammad Salleh berkata, semua bahasa melalui peredaran zaman dan pengaruh yang terdapat ketika itulah yang melukiskan perubahan zaman seterusnya menjadi penentu kepada lenggok bahasa itu.

 

Menurutnya, bahasa Melayu mempunyai keunikan tersendiri kerana unsur klasik, kehalusan dan sopan santun yang ada di dalamnya.

 

Punca mengapa bahasa Melayu semakin kurang digunakan oleh segelintir rakyat Malaysia pada hari ini kerana banyak yang jahil. Lebih menyedihkan apabila mereka ini menggunakan bahasa campur yang tidak hanya dalam perbualan harian sahaja. Golongan ini tiada rasa jati diri dan tiada martabat. Sedangkan mereka lupa bahawa bahasa itu umpama pakaian peribadi seseorang, pakaian akal fikiran dan perasaannya.

 

Jika menggunakan bahasa tempel-tempel ia ibarat pakai pakaian compang-camping, kotor dan tiada keindahan. Orang luar suka bahasa kita, mengapa kita pula membuangnya,” katanya.

 

Berlakunya keadaan ini, katanya adalah kerana ia mempunyai sangkutan dengan kesan yang ditinggalkan oleh penjajah. Katanya, pada tahun 70-an dan 80-an, rakyat yang ingin mempelajari ilmu di universiti perlu menguasai bahasa Inggeris, jika tidak mengusai bahasa tersebut tiada peluang.

 

Pengalaman di Pulau Pinang pada 1957 iaitu tahun pertama kemerdekaan, saya mahu belajar bahasa Melayu tetapi tiada guru yang layak untuk mengajar. Saya percaya di negeri lain pun begitu juga. Pada tahun pertama kemerdekaan, bahasa Melayu sudah dilusuhkan dan dilemahkan oleh bahasa kolonial. Kesannya, pada hari ini terdapat rakyat Malaysia malah orang Melayu sendiri yang menolak bahasa Melayu.

 

Ada juga yang membandingkan kehebatan bahasa ibunda dengan bahasa kolonial. Golongan ini sebenarnya tidak sedar bahawa sastera kita antara yang terbesar di dunia termasuk Indonesia,” katanya sambil memberitahu keadaan ini tidak berlaku dalam kalangan rakyat sahaja malah kalangan pemimpin negara.

Muhammad berkata, ramai pemimpin barisan pertama negara tidak tahu mengenai karya agung bahasa Melayu, tidak tahu berucap dalam bahasa Melayu di peringkat canggih dan ini berbeza dengan presiden pertama Indonesia, Sukarno yang fasih menggunakan bahasa Melayu di peringkat canggih.

 

Keadaan ini berlaku kerana sistem penjajah yang sangat berpengaruh walaupun setelah meninggalkan Tanah Melayu, barisan pemimpin pertama Tanah Melayu ketika itu lulusan sekolah Inggeris atau universiti di England. Oleh itu, mahu tidak mahu nilai Inggeris telah terserap ke dalam akal fikirannya dan ia telah sampai kepada generasi kini.

 

Dalam kalangan ahli perniagaan, mereka beranggapan berurusan dalam bahasa Melayu menjadikan urusan niaga itu tidak lengkap. Ada juga anggap bahasa Melayu tidak lengkap untuk mendapatkan segala ilmu yang ada di dunia ini sehingga wujud golongan tidak mahu mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu,” tegasnya.

 

Sejarah telah membuktikan bahasa Melayu berupaya dan mampu menjadi bahasa perantaraan dalam urusan perdagangan antarabangsa ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, namun semakin dipinggirkan kerana wujud warga Malaysia yang memandang remeh malah tidak boleh bercakap bahasa ini di peringkat lebih canggih.

 

Dalam satu kajian oleh sebuah universiti di London, dalam sekitar 20 tahun akan datang, bahasa Melayu bakal menjadi bahasa keempat terbesar dunia setelah Mandarin, Sepanyol dan Inggeris,” katanya.

 


 

Tak tahu unik bahasa Melayu, sebab tak kenal

 

ORANG yang tidak mengenali bahasa Melayu dengan baik tidak mungkin faham keunikan dan keistimewaan bahasa Melayu,” kata Sasterawan Negara, Prof Dr Muhammad Salleh.

 

Ini sekali gus menjawab persoalan, lenggok bahasa Melayu sukar dipertuturkan dan difahami menjadi punca mengapa ia tidak menjadi pilihan sebahagian rakyat Malaysia menuturkannya pada hari ini.

 

Beliau berkata, mereka yang membuat andaian seumpama itu adalah golongan yang bukan saja tidak berusaha mendekatkan diri kepada sejarahnya atau kerencamannya, tetapi juga melihatnya dengan mata yang berprasangka.

 

Semua bahasa di dunia melalui perubahan lenggok, mengikut peredaran zaman dan perubahan keadaan. Bahasa Inggeris tidak terkecuali dari melalui perubahan gaya dan lenggok bahasa sejak zaman Chaucer, Elizabeth atau Shakespeare, George dan setelah itu memasuki zaman Romantik, Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua sehinggalah zaman industri dan terkini. Menerusi perubahan ini, gaya yang klasik dan halus lenggok bahasanya itu perlahan-lahan menjadi keras, lebih logikal tetapi tipis perasaannya,” katanya sambil memberitahu

Bahasa Inggeris kurun ke-19 juga sukar difahami.

 

Muhammad menambah, begitu juga halnya dengan bahasa Indonesia. Pada tahun 30-an, bahasa Indonesia sedap didengar dan mirip bahasa Melayu di Malaysia, kerana ketika itu yang banyak menulis buku adalah Melayu Riau-Sumatera Utara dan Minangkabau.

 

"Selepas merdeka, unsur-unsur bahasa Jawa telah masuk dengan banyak dan semakin digunakan dalam pertuturan. Inilah bahasa persatuan Indonesia. Kini dialek Betawi dan serapan daripada perbendaharaan bahasa Jawa, Sunda dan lain-lain mewarnainya.

 

"Tetapi penutur bahasa Indonesia telah membinanya dengan watak sendiri dan kita menghormati mereka, kerana berjaya mencipta bahasa baru dari akar lamanya dan pada hari ini menyampaikannya dengan lenggok khusus Indonesia," katanya.

 


 

Mengapa bahasa Melayu semakin dipinggirkan?

 

BAHASA melambangkan bangsa. Bahasa Melayu pernah diangkat sebagai bahasa perdagangan. Tetapi kini, semakin bangsa menuju ke arah pemodenan, di mana kedudukan bahasa Melayu dan ke arah mana pula hala tujunya?

 

Hanya persidangan melibatkan agensi kerajaan masih menggunakan bahasa Melayu. Tetapi tidak pada semua agensi swasta. Adakah ini berlaku kerana tidak minatnya semua pihak mendukung bahasa Melayu?

 

Bahasa Melayu kian layu di bumi sendiri. Memegang gelaran anak bangsa Malaysia, apa usaha dan sumbangan memperjuangkan bahasa yang semakin terpinggir ini? Adakah dengan hanya menuding jari dan menyalahkan sesama sendiri boleh mengagungkan semula bahasa ini?

 

Di bumi Malaysia, bahasa Melayu bukan hak eksklusif milik satu bangsa sahaja, tetapi ia adalah Bahasa Kebangsaan. Ia milik kita!

 

Jika Jepun, Korea dan Jerman boleh berjaya hingga ke peringkat antarabangsa tanpa perlu membawa bahasa lain, mengapa tidak Malaysia? Bahasa kita hebat. Walaupun, banyak berubah seiring peredaran zaman, hakikatnya bahasa kita mempunyai keunikan dan nilai komersil tersendiri.

 

Wujud anak Malaysia tidak percaya kehebatan bahasa sendiri sehingga membandingkannya dengan bahasa lain termasuk bahasa Inggeris atau lebih tepatnya bahasa penjajah.

 

Terdapat juga sebilangan pemimpin tidak tahu untuk berbahasa Melayu di peringkat lebih canggih. Dalam persidangan di Parlimen tidak kira di Dewan Rakyat atau pun di Dewan Negara, akan ada pemimpin bercakap menggunakan bahasa Melayu lintang-pukang.

 

Tidak setakat itu, timbul pula dakwaan bahasa Melayu tidak lengkap untuk urusan meningkatkan ilmu pengetahuan disebabkan kekurangan istilah, selain dianggap tidak sesuai dengan kecanggihan sains dan teknologi. Tidak dinafikan hakikat ini, namun apakah wajar perlekehkan bahasa sendiri kerana alasan-alasan ini? Tidakkah sedar orang luar menilai ketinggian dan keunikan bahasa kita?

 

Di manakah silapnya? Hilang rasa bangga ini adakah bersangkutan kelemahan sistem pendidikan dan nilai kehidupan masyarakat atau individu warga Malaysia itu sendiri membuang dan menolak bahasa Melayu?

 

Memetik ucapan Datuk Seri Dr Rais Yatim, "Saya menerima hakikat bahawa perjuangan bahasa Melayu kita masih belum selesai. Terlalu banyak hal, dan isu serta persoalan yang masih menghantui kita. Saya mengajak para pejuang bahasa Melayu jangan bosan berjuang terus menegakkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan."

 

BICARA INI sekadar membuka minda untuk sama-sama fikirkan.

Unknown , Selasa, November 27, 2012 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog