2+4 hrs...Twogether Fourever

/

'Jangan ciplak rakus Barat'


Oleh MUHAMMAD ALI HASHIM, Sinar Harian
, 30 Julai 2012

Beberapa tahun lalu negara Barat ghairah melabel negara membangun yang lemah ekonomi dan kerap berkonflik, khasnya negara Islam, sebagai negara kecundang atau failed states. Hari ini Barat pula menghadapi krisis ekonomi yang mengancam survival mereka.

Beberapa negara seperti Iceland, Ireland dan Greece jatuh muflis, langsung menjadi failed states Barat!

Kemerosotan terus mengancam Barat, apabila ekonomi Itali, Portugal dan Sepanyol semakin goyah. Negara bersandarkan sistem kewangan Euro khasnya semakin tergugat, tanpa jalan keluar mudah selain bantuan negara Euro lain. Semakin kuat pendapat yang mengatakan tidak mustahil seluruh sistem kewangan Euro boleh runtuh. 

Amerika Syarikat sebelum ini juga gawat dan tergugat, apabila sistem kewangan dan perbankan terancam setelah bankrapnya beberapa gergasi korporat termasuk Lehman Brothers yang tersungkur pada 2008. Sebelum itu gergasi korporat seperti Lehman tidak pernah dijangka akan tumbang. Mujur pemerintah Amerika Syarikat cepat bertindak menyelamat bank dan gergasi insurans serta memperbaharui dasar dan memperkenalkan sistem kawalan berkesan. 

Apa punca segala kegawatan yang mengancam survival dunia kapitalis Barat ini? Umat Islam telah lama memerhatikan ciri rakus dan angkuh amalan kapitalis Barat. Kini warga Barat sendiri semakin mengakui hakikat krisis berpunca daripada nilai hidup rakus dan tamak. Jelas sekali sistem kapitalis tidak dapat dilestarikan dalam bentuk dan mengikut kaedah yang diamalkan selama ini, iaitu berasas kepada nilai hidup greed-driven.  

Sistem berteraskan nilai hidup materialistik dan individualistik melampau swasta Barat ditoleransikan rakyat Barat atas keyakinan semua akhirnya akan mendapat manfaat dan ramai berpeluang menjadi kaya untuk hidup senang. Namun semuanya janji kosong dan mimpi siang hari. Sebaliknya kajian mendapati cuma 2 peratus manusia yang melampau kaya dengan memiliki hingga 51 peratus daripada jumlah harta kekayaan, sementara 50 peratus termiskin cuma memiliki 2 peratus.

Ini bermakna majoriti manusia semakin tidak memiliki apa-apa sedang segelintir yang kaya hampir membolot semua. Lebih teruk, setelah berlaku krisis, golongan miskin semakin derita sehingga ada hilang mata pencarian, langsung gelap masa depan. Sistem kapitalis zalim kerana tidak langsung membela nasib golongan bawahan. Tidak hairan di Barat ramai yang bangun memberontak menentang kerakusan sistem ini. Kezaliman sistem juga antara sebab meledak pemberontakan umat Arab di Tunisia, Mesir dan Libya menentang kerakusan dan keangkuhan golongan atasan dan pemerintah di negara masing-masing setelah menciplak Barat.

Terdapat bukti kerakusan kapitalis yang menyebabkan kebencian ramai. Contohnya, pada 2008, sebuah firma dana pelaburan swasta milik Bernard Madoff, penasihat pelaburan warga Amerika keturunan Yahudi, jatuh bankrap. Madoff didapati bersalah oleh mahkamah setelah sejak 1970-an mengendalikan bisnes yang sebenarnya menipu dan melesapkan hampir RM200 bilion wang pelanggan. Madoff yang berumur 75 tahun dan hidup mewah sebagai bilionair dipenjarakan 150 tahun, menempa sejarah menjadi simbol kerakusan Amerika.

Kerosakan sistem kapitalis Amerika telah lama bersarang, jauh sebelum Madoff lagi. Pada 2001 salah sebuah syarikat terkenal Amerika, Enron Corporation jatuh muflis, juga kerana penipuan secara besar-besaran. Enron pernah menjadi pujaan Amerika dan diiktiraf korporat cemerlang paling inovatif - rupa-rupanya dalam menipu, membohong dan menggelapkan wang. 

Turut tersungkur bersama Enron ialah syarikat Arthur Anderson, sebuah firma audit global terkenal (yang pernah beroperasi di Malaysia), terpaksa bubar apabila didapati bersekongkol dengan penipuan Enron. Anderson tidak ubah seumpama pagar yang makan padi! 

Kerakusan Barat telah lama tidak disenangi Islam, terutama kerana ia berlandaskan riba. Selain itu, di Barat sekalipun ia tidak lagi dapat ditoleransi apabila duit rakyat digunakan untuk menyelamat (bail-out) bank gergasi yang selama ini kaya-raya. Sebelum krisis, golongan jutawan korporat dan bilionair pemilik utama bank ‘terbang tinggi’, langsung lupa daratan. Setelah krisis berlaku dan mereka diancam muflis, duit rakyat pula diguna untuk menyelamat mereka!

Semua ini menyebabkan semakin ramai di Barat bertindak agresif menentang dan menolak sistem ekonomi kapitalis rakus ciptaan mereka sendiri. Bagi umat Islam sistem kapitalis zalim dan amalan yang merosak kepentingan awam dan mengancam kebajikan manusia tidak lagi boleh dipertahankan. Persoalan yang berbangkit ialah: Tidakkah kuman rakus Barat telah lama berada dalam diri kita? Bagaimana harus kita bertindak menghapus dan mengubatinya?

Apa pun, isu yang harus mendapat perhatian bukan lagi hakikat kelemahan dan keruntuhan kapitalisme. Sewajarnya umat Islam fokus kepada realiti pendedahan umat yang bergelumang dalam sistem rakus ini dan segera mencari jalan berkesan memperbaiki kerosakan rohani dan jasmani akibat menciplak kapitalis. 

Inilah sebab beberapa hari lalu saya mengeluarkan kenyataan menentang hasrat KFC Holdings Malaysia Bhd (KFCH) yang dilaporkan bercadang mengetepikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jamaludin Md Ali. Jamaludin dan pasukan kepimpinan KFCH telah mencatat prestasi cemerlang mengatasi prestasi semua KFC lain di benua Asia dua tahun berturut-turut iaitu pada 2007 dan 2008. 

Keuntungan KFCH melonjak dan pemilik francais Amerika kagum dengan prestasi luar biasa lalu menyerah amanah teraju bisnes KFC Cambodia dan Mumbai, India kepada KFC Malaysia. Antara faktor yang melonjakkan prestasi jualan dan keuntungan (juga harga saham KFCH di bursa) ialah jaminan Halal yang diyakini seluruh pelanggan Muslim. KFCH bersungguh dan gigih memperjuangkan Halal, termasuk  membentuk satu-satunya Jabatan Audit Halal profesional dan berwibawa di bawah kendalian korporat besar negara.  

Satu lagi sebab saya menentang cadangan penggantian CEO KFCH ialah kerana dalam amalan korporat terbaik (highest corporate governance standards), setelah syarikat berprestasi cemerlang pantang sekali terajunya ditukar tangan. Islam juga tegas dengan pendirian sesuatu amanah (termasuk amanah kepimpinan) diserah hanya kepada “ahli”, iaitu “yang berhak menerimanya”.  Hadis Rasulullah SAW (Riwayat al-Bukhari) tegas mengingatkan: “Jika suatu perkara diserahkan kepada selain ahlinya maka tunggulah saat (kehancuran)nya.” (Lihat Yusuf Al-Qaradhawi, “Ekonomi Islam, Nilai dan Akhlak” ms 337 dan 399). 

Sistem kapitalis Barat juga memilih ‘ahli’, tetapi cuma dari kalangan yang paling ahli memaksimumkan keuntungan dan menghimpun kekayaan jangka pendek untuk kepentingan segelintir pemegang saham. Kerap juga matlamat memburu untung menghalalkan segala cara.KFC

Saya bimbang andainya penyakit Barat ini menular menjangkiti KFCH menerusi kepimpinan baharu. Terutama setelah bahagian hak milik KFCH turut berpindah tangan dan kepentingan pemegang saham minoriti kapitalis antarabangsa mula mempengaruhi suasana.

Mudah-mudahan kebimbangan saya tidak menjadi kenyataan. Jika berlaku juga, kita boleh menjangka KFCH mungkin diperah dan dipecah menerusi kaedah asset stripping atau asset rationalization. Kaedah kapitalis ini banyak diamalkan oleh korporat Barat selama ini yang turut menyebabkan kerosakan.

Tujuannya ialah memecah aset sesuatu bisnes yang diambil alih dan menjual bahagian aset yang dipecahkan untuk mendapat pulangan segera. Misalnya, bisnes upstream ternakan ayam KFCH dipisahkan daripada bisnes restoran downstream dan dijual untuk memaksimumkan keuntungan KFCH. 

Pelabur kapitalis sememangnya memburu pulangan maksimum segera dan kaedah perah dan pecah satu-satu jalannya. Mereka tidak pandang mudarat ke atas masa depan syarikat, kerana mereka juga tidak berhajat menjadi pemilik saham kekal berpanjangan. Yang dikejar ialah untung dan kekayaan segera.

Peduli apa mereka nasib pekerja, penternak ayam, prospek kerjaya dan masa depan warga kerja dan eksekutif syarikat. Peduli apa mereka isu halal-haram produk, atau kemusnahan dan kerosakan yang berlaku terhadap ekonomi, masyarakat dan sistem politik setempat hasil tindakan mereka, asalkan mereka cepat kaya?

Inilah antara bahaya besar kuman penyakit rakus Barat setelah kita dijangkiti. Mereka tidak ambil peduli percaturan strategi bangsa Melayu dan umat Islam menguasai bisnes halal. Mereka juga tidak ambil pusing niat dan cita-cita umat Islam Malaysia menerapkan nilai Islam ke dalam bisnes bertujuan membasmi sistem rakus dan greed-driven. Mata mereka cuma satu tetapi yang satu ini cuma melihat wang berjuta dan kepuasan nafsu merebut dan menguasai harta.


Tan Sri Muhammad Ali Hashim
Presiden,
Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)
ali.bizjihad@yahoo.com

Unknown , Isnin, Julai 30, 2012 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog