2+4 hrs...Twogether Fourever

/

Legenda emas tinggal kenangan

AHMAD JAIS bangkit memperjuangkan seni sehingga ke akhir hayatnya.



 



PASTINYA lirik puitis penuh sentuhan rohani lagu popular berjudul Azizah itu cukup kuat untuk mengingatkan kita semua kepada figura bernama Ahmad Jais atau nama sebenarnya Datuk Mohd. Jais Ahmad.

Semestinya orang yang begitu rapat atau yang pernah berdepan dengan Ahmad Jais, 75, akan merasai kehilangan dan sedih apabila penyanyi legenda bersuara emas itu kembali ke Rahmatullah semalam.

Menurut anak keempat Allahyarham, Maimun, 31, bapa kesayangannya itu telah dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Selangor, Shah Alam apabila mengadu penat selepas pulang daripada membuat persembahan di Batu Pahat, Johor pada 8 September lalu.

"Kemudian, ayah telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam pada 24 September selama 15 hari setelah keadaan kesihatannya semakin serius.


"Kemudian sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir keadaan ayah semakin tidak stabil dan akhirnya ayah telah meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi akibat komplikasi paru-paru," jelasnya.


Ditanya tentang ahli keluarga lain yang berada di sisi arwah ketika menghembuskan nafas terakhir, Maimun memberitahu, hanya dia dan adiknya, Mashita, 25, yang berada kerana dua orang abang mereka iaitu Iskandar, 41, Hisham, 40, serta seorang kakaknya, Salawati, 38, menetap di Singapura.


Jenazah Allahyarham telah dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Negeri Shah Alam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 selepas solat Zuhur.


Dengan pemergian Allahyarham Datuk Ahmad Jais ke Rahmatullah, ternyata ia adalah satu kehilangan yang cukup besar dalam industri seni tanah air.


Menurut Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez yang ditemui di Masjid Negeri Shah Alam, perginya Ahmad Jais merupakan satu kehilangan besar kepada industri muzik tanah air khususnya pada irama pop yeh yeh.


"Pencapaiannya sangat besar dalam industri muzik dan dia merupakan legenda. Beliau merupakan ahli persatuan Karyawan yang sangat aktif dan bersedia membantu rakan-rakan dalam persatuan tidak kira masa dan tenaga," ujar Freddie.


Mengulas lanjut, kata Freddie, 58, Allahyarham juga dikenali oleh seluruh kaum tidak kira Melayu, India dan Cina kerana kelunakan suara dan lagu-lagunya yang sangat malar segar. Disebabkan itu sehingga kini Ahmad Jais masih menerima jemputan menyanyi di majlis-majlis.


"Saya sedih sebab dia tidak sempat menyanyi untuk jemputan nyanyian di masa akan datang sedangkan banyak jemputan yang diterimanya," katanya yang sempat melawat Allahyarham ketika beliau koma di DEMC.


Menurut Freddie lagi, hampir sebulan Ahmad Jais menderita penyakit paru-paru. Selepas dimasukkan ke DEMC beliau koma selama tiga minggu dan kemudiannya meninggal.


Kali pertama dan terakhir

Tiada apa yang mampu diucapkan selain melahirkan perasan sedih yang amat sangat. Itulah yang dialami penyanyi veteran tersohor, Salamiah Hassan, 60, meluahkan rasa sedih dan terkejut di atas pemergian Ahmad Jais.

Kali terakhir, ibu kepada penyanyi genit Atilia itu berjumpa dan berduet bersama Ahmad Jais untuk lagu Berdebar-Debar ketika mengadakan persembahan pada jamuan rumah terbuka raya Suruhanjaya Komunukasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Hotel Legend, Kuala Lumpur pada 16 September lalu.

"Itulah kali pertama dan juga terakhir kami berduet bersama. Sebelum ini, lagu Berdebar-Debar merupakan lagu duet kami untuk album dan kami tidak pernah berduet untuk persembahan khalayak bersama," katanya dengan nada sedih ketika dihubungi semalam.

Ketika berduet pada malam rumah terbuka raya tersebut, Salamiah memberitahu, keadaan Allahyarham tidak begitu sihat dan pernafasannya kedengaran tersekat namun beliau tetap cekal untuk menyanyi dan menghiburkan tetamu.

Semangatnya begitu kuat dan suaranya masih jelas mantap kedengaran di telinga Salamiah.
Melihat kepada rakan duetnya yang sudah tiada, pinta Salamiah agar nasib artis-artis veteran yang lain supaya lebih terbela.

"Janganlah bila mereka sudah tiada nanti baru nak ingat dan diangkat. Masa ketika tua mereka perlukan sokongan dan bantuan daripada mana-mana badan," katanya lagi.

Sementara itu, penyanyi Datuk DJ Dave yang turut ditemui memberitahu bahawa Allahyarham adalah penyanyi yang sangat diminatinya dari dulu sehingga sekarang.

Ujarnya, dia begitu meminati penyanyi tersohor itu kerana tertarik dengan suara unik yang dimiliki dan mereka kerap membuat persembahan bersama-sama sekitar era 70-an dan 80-an.

"Lagu berjudul Azizah yang dinyanyikan oleh arwah adalah merupakan lagu Melayu kedua yang saya dengar dan saya terus tertarik dan kagum dengan bakat yang dimilikinya itu.

"Sebagai seorang yang sudah berpuluh-puluh tahun berkecimpung sebagai penyanyi, arwah sememangnya seorang anak seni yang sudah banyak berjasa dalam industri hiburan tempatan," jelasnya.

Suka bergurau

Berkenaan dengan sikap peribadi yang dimiliki oleh penyanyi legenda berkenaan, rata-rata rakannya menganggap arwah sebagai seorang individu yang suka bergurau terutama dengan rakan-rakan di sekelilingnya.

Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah, 58, yang terkejut dengan pemergian arwah memberitahu bahawa dia sudah menganggap penyanyi tersebut sebagai seorang abang setelah berkenalan sejak tahun 1965.

"Sepanjang 46 tahun saya berkawan dengannya, memang kami agak rapat kerana selalu membuat persembahan bersama-sama. Bagi saya, arwah seorang yang sangat suka bergurau dengan sesiapa sahaja.

"Antara gurauannya yang paling saya ingat apabila dia asyik bertanyakan tentang bila saya mahu berumah tangga. Bila mengenangkan gurauannya itu kembali, memang saya berasa teramat sedih," ujarnya yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemubual.

Ditanya sama ada beliau sempat menziarahi arwah sepanjang berada di hospital, Kak Pah memberitahu dia sempat melawat pada minggu lalu tetapi pada masa itu arwah dalam keadaan tidak berkata-kata.

Seorang lagi penyanyi yang popular sekitar tahun 1960-an, Datuk A. Rahman Hassan, 64, ketika ditemui berkata, arwah dianggap sebagai sebutir permata yang sangat berharga.

Menurutnya, biarpun sudah berkecimpung dalam bidang seni suara hampir 50 tahun, namun namanya masih lagi menjadi sebutan ramai dan mempunyai peminat yang tersendiri.

"Tidak dinafikan kebanyakan lagu-lagu dinyanyikan arwah adalah lagu evergreen yang masih diminati sehingga hari ini. Jadi, sudah sewajarnya dia diangkat sebagai salah seorang penyanyi legenda negara," jelasnya.

Bagaimanapun, di sebalik sikap penyanyi berkenaan yang suka bergurau, A. Rahman memberitahu bahawa arwah mempunyai sikap yang cukup tegas terutama dalam membuat sesuatu keputusan.

"Memang adakalanya ada sebilangan orang yang akan kecil hati dengan sikap ketegasannya itu, namun sepanjang mengenali dirinya dia sebenarnya adalah seorang individu yang sangat baik hati," ujarnya.

Sementara pelakon veteran terkenal, Datuk Aziz Sattar, 86, pula berkata, pemergian penyanyi legenda itu adalah sesuatu yang sukar untuk dicari ganti dan jasanya dalam bidang nyanyian tidak harus dilupakan sama sekali.

"Sebagai artis veteran hubungan kami sememangnya cukup rapat dan sepanjang mengenalinya arwah adalah seorang insan yang cukup istimewa.

"Perjuangannya sebagai seorang anak seni selama berpuluh-puluh tahun harus dijadikan contoh kepada penyanyi-penyanyi generasi sekarang," ujarnya.

Perginya Ahmad Jais sangat dirasai buat peminat-peminat yang menggilai suara dan lagunya. Hanya lunak suara dan lagu-lagu popularnya seperti Di Ambang Sore, Azizah dan Budi Setahun Segunung Intan yang tinggal sebagai kenangan.

Menyahut panggilan Ilahi, Allahyarham Ahmad Jais telah pergi meninggalkan kita semua selepas dikhabarkan rakan perjuangannya mengenai kebaikan dan keceriaan yang disalurkan ke dalam hidup mereka.

Sepantas itu nyawanya diambil semula oleh Sang Pencipta. Biarpun pemergiannya diratapi dan ditangisi, Ahmad Jais pergi dan tidak akan kembali lagi.

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
dan RONI HIDAYAT
hiburan@kosmo.com.my

+

Ceritera hayat Datuk Ahmad Jais

"DIA bukan jenis penyanyi yang letak harga," ujar promoter konsert dan pemilik De' Media & Event Entertainment, Syed mohd. Yusof Wafa Syed Nordin atau Wafa yang sudah 15 tahun bekerjasama dengan arwah Datuk Ahmad Jais dalam urusan konsert-konsert di seluruh negara.

"Datuk Ahmad Jais seorang yang merendah diri. Dia tidak minta bayaran yang tinggi untuk nyanyiannya. Biasanya dia menerima bayaran di antara RM2,000 hingga RM4,000 untuk kemunculan dalam sesebuah konsert menerusi maksimum empat buah lagu," ujar Wafa yang berada di New York, Amerika Syarikat ketika dihubungi Kosmo! Dia mengakui betapa dirinya sangat terkejut dengan kepergian arwah yang sudah dianggap seumpama bapanya sendiri itu.

"Namun, arwah seorang yang sangat pemurah dan baik hati, malah dia berusaha keras memastikan penonton persembahannya akan berpuas hati.

"Malah, ada ketikanya dia dibayar untuk mendendangkan tiga buah lagu, tapi apabila penonton merayu untuknya terus menyanyi dia akan menambah bilangan lagu nyanyian tanpa berkira soal bayaran. Itulah sikap arwah yang paling saya kenang," luahnya yang turut memberitahu antara lagu kegemaran Ahmad Jais untuk persembahan-persembahannya termasuklah Umpan Jinak di Air Tenang dan Bahtera Merdeka.

Itu antara secebis kisah kenangan semasa hayat arwah Datuk Ahmad Jais yang mungkin ramai tidak mengetahui.

Merupakan salah seorang penyanyi irama pop yeh yeh yang mula berkecimpung dalam bidang muzik sekitar era 60-an, sementelah bergelar penyanyi yang bergelumang dengan kancah glamor, sudah tentu Ahmad Jais mempunyai 1001 kisah yang menarik sepanjang kehidupannya untuk dikongsi bersama peminat.

Dilahirkan di Kapar, Klang, Selangor pada 28 Mac 1936 dan kemudiannya berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1957, dari situ Ahmad Jais mula menyanyi di majlis keramaian seperti kenduri kahwin.

Pada Oktober 1959, Ahmad Jais berhijrah ke Singapura untuk mencuba nasib nyanyian di sana pula.

Sebelum bintangnya mula bersinar di Singapura, Ahmad Jais pernah bekerja sebagai budak pejabat di Cycle and Carriage dengan gaji sekitar RM80 sebulan.

Bakat seni Ahmad Jais mula bersinar apabila beliau memenangi pertandingan nyanyian Lagu Asli Singapura pada tahun 1959 dan 1960.

Pada tahun 1961, Ahmad Jais sekali lagi menyertai pertandingan Lagu Asli Singapura tetapi malangnya ramai peserta pertandingan itu membantah beliau mengambil bahagian buat kali ketiga.

Keistimewaan suara Ahmad Jais mendendangkan lagu-lagu asli menggugat peserta-peserta yang masuk bertanding. Beliau terpaksa mengalah dan hanya menyertai pertandingan Lagu Pop Singapura. Begitupun, beliau berjaya dinobatkan sebagai juara Lagu Pop Singapura.

Pada tahun 1962, Ahmad Jais kembali menyertai pertandingan Lagu Asli Singapura dan sekali lagi meraih gelaran juara.

Beliau pernah merakamkan lagu-lagunya di bawah label Panda Records bersama Orkes Selayang Pandang.

Rakam album pertama

Kata orang, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian, kerjaya nyanyian Ahmad Jais mula terbuka luas apabila beliau mendapat peluang menjadi penyanyi undangan untuk Kumpulan Seriwarna yang membuat persembahan di Panggung Victoria, Singapura.

Pada zaman itu, panggung terbabit sering menjadi tumpuan golongan elit dan bangsawan. Ternyata kehebatan suaranya sewaktu menyanyikan lagu Di Ambang Sore diperakui tokoh muzik terkenal Singapura, Zubir Said yang banyak terbabit dengan dunia rakaman.

Selain Seriwarna, Ahmad Jais pernah menjadi penyanyi jemputan bagi sebuah lagi kumpulan muzik terkenal di Singapura, Orkes Melati Putih. Akhirnya namanya mula menjadi sebutan.

Selain menyanyi secara solo, Ahmad Jais juga terkenal dengan lagu duet bersama Allahyarham Datin Rafeah Buang iaitu, Juwitaku Sayang dan Budi Setahun Segunung Intan bersama Kartina Dahari.

Pada tahun 1965 akhirnya Ahmad Jais merakamkan album pertama. Album tersebut berjudul Kucupan Azimat. Sehingga kini Ahmad Jais sudah merakamkan lebih 100 lagu menerusi 15 album dan kebanyakannya dalam bentuk rakaman extended play (EP) dan rekod long play (LP).

Selepas melebarkan sayapnya di Singapura, Ahmad Jais kembali semula ke Malaysia. Pada 23 Mac 2007, beliau diberi kepercayaan untuk mengadakan Konsert Bahtera Merdeka anjuran Istana Budaya yang diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani memberitahu Kosmo!, penyanyi berkenaan adalah satu-satunya artis lelaki era 1960-an yang membuat konsert solo di Istana Budaya.

"Dalam persembahan yang berlangsung selama tiga hari iaitu pada 23 hingga 25 Mac 2007, sambutan yang diterima sangat menggalakkan apabila semua tiket habis dijual.

"Walaupun dikategorikan sebagai penyanyi veteran, namun arwah membuktikan dia masih lagi penyanyi yang diminati ramai dan mempunyai peminat yang tersendiri," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Jais turut menerima darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda ke-63 pada 2006.

Beliau turut terbabit bagi menjayakan Konsert Pop Yeh Yeh Suatu Evolusi 2007, di Stadium Malawati dan julung-julung kali diadakan oleh Global Ads Workstation Sdn. Bhd.

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
Unknown , Khamis, Oktober 13, 2011 | 0 komentar :: Best Blogger Tips
  • Share On Facebook
  • Digg This Post
  • Stumble This Post
  • Tweet This Post
  • Save Tis Post To Delicious
  • Float This Post
  • Share On Reddit
  • Bookmark On Technorati
Blog Gadgets

...lagi Artikel yang Berkaitan :

Terima kasih atas kunjungannya, Bila anda suka dengan artikel ini silakanlah JOIN TO MEMBER BLOG atau berlangganan geratis Artikel dari blog ini, daftarkan email anda pada form subscribe diatas . Pergunakan vasilitas diblog ini untuk mempermudah anda. Bila ada masalah dalam penulisan artikel ini silahkan kontak saya melalui kotak komentar yang ada dibawah atau gunakan fasilitas yang ada diblog ini untuk menghubingi saya.

Salam Blogger.... !!! .

0 komentar :: :

1. Komentar SPAM Akan secepatnya dihapus
2. Pastikan untuk " Berlangganan Lewat Email " untuk membangun kreatifitas blog ini
3. Cek komentar masuk sebelum bertanya.
4. Link aktiv tidak akan berpungsi.
5. Dilarang menyebarluaskan artikel tanpa persetujuan dari saya.
6. Untuk mengajukan pertanyaan diluar postingan diatas, silahkan klik " Forum Diskusi "
7. Bergabung dengan kami untuk menjadi member Klik " Join to Member "
8. Komentar yang mengandung code tag HTML, konversikan terlebih dulu silahkan klik " Konversi Kode "

Konversi Kode Forum Diskusi Join to Blog